Pages

10 August 2011

~Artikel Ramadhan 10: Jauhi Sifat Riak~


Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah.

Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai.

Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah. Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya.

Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Sabda baginda bermaksud: Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu (Hadis riwayat Ad-Dailami)


1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

2. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

3. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.

4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.

Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign