Pages

16 August 2012

Ihya Ramadhan 27 : Konsep Halal

Kita selaku umat Islam yang tinggal di sebuah Negara Islam dan mempunyai pemikiran yang maju selaras dengan konsep Islam Hadhari seharusnya tidak boleh mengabaikan konsep halal-haram pemakanan. Meskipun kita mungkin melihat agak remeh untuk memikirkan tentang isu ini, namun apa yang membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang. Memang diketahui umum bahawa iman merupakan teras pembentukan jiwa dan peribadi diri yang suci lagi murni. Oleh itu, adalah amat penting pemakanan halal yang mampu menjana pembikinan muslim yang hakiki dan sempurna dari semua segi keperibadian manusia,

UMAT manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168) bermaksud: “Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.” Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.

Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal haram bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah:

Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.

Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat  pengiktirafan halal oleh JAKIM.

Mereka juga perlu dijelaskan tentang cara pengurusan makanan dan pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat  untuk mereka proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan ayam dalam sebuah lori.

Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.

Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk memasak makanan bagi orang Islam pula.

Perkara terakhir yang perlu diberi perhatian adalah dari segi penjagaan kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.

Jika semua konsep asas ini dapat dijelaskan dengan sempurna kepada masyarakat bukan Islam, nescaya tidak akan berlakunya masalah dan kes sosej yang diproses dengan usus khinzir dan kes-kes yang lain. Atas dasar ini, beberapa langkah efektif perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan untuk memastikan masyarakat bukan Islam memahami dengan jelas apa sebenarnya konsep halal-haram pemakanan dalam Islam. Risalah-risalah perlu diedarkan kepada peniaga bukan Islam untuk memberi kefahaman sepernuhnya kepada mereka agar menyedarkan mereka tentang konsep pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga, seminar tentang konsep halal-haram pemakanan menurut Islam perlu dijalankan kepada wakil setiap peniaga restoran dan syarikat pemprosesan makanan di setiap negeri.

Selain itu, pemantaun yang lebih bagi memastikan logo halal yang digunakan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Cadangan logo halal berkonsepkan hologram perlu dipraktikkan dengan serius.Ini kerana dengan cara ini peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih tidak dapat meniru logo halal keluaran JAKIM.

Peniaga yang mendapat kelulusan halal bagi restoran atau bahan makanan keluaran mereka perlu diberi kad kelulusan bercip bagi memudahkan pihak JAKIM melakukan pemeriksaan pada masa akan datang. Kad bercip itu akan mengandungi segala maklumat seperti bahan makanan serta ramuan yang disediakan oleh syarikat atau peniaga tersebut begitu juga dengan kaedah pemprosesan bahan makanan keluaran mereka.

Secara ringkasnya, kita inginkan sebuah Negara Islam Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan negara tetapi juga maju dari segi nilai moral dan etika insan yang berusaha untuk memajukannya.Ini bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang sering dikatakan oleh kerajaan iaitu maju dari segi pembangunan seiring dengan kemajuan sahsiah diri masyarakatnya. Perlu diingat bahawa usaha menyedarkan konsep halal perlu diperluaskan lagi skopnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kita selaku masyarakat Islam perlu memperjelaskan isu halal ini kepada masyarakat bukan Islam.

Masyarakat yang maju adalah yang maju dari semua segi bukan sahaja dari segi pembangunan material sahaja tetapi dari segi kemajuan insani yang jitu dan mapan. Atas dasar itulah pemakanan yang sempurna dan halal mengikut kehendak syarak membawa kepada keutuhan iman dan kegemilangan sesebuah bangsa itu.

Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign