Kegigihan semut laksana tugas rutin wajar diambil iktibar untuk tingkat mutu amalan
NIAT menjadi sahnya sesuatu amalan ibadah sama ada yang fardu mahupun sunat. Tanpa niat sesuatu amalan itu tidak mendatangkan sebarang pahala di sisi Allah. Begitu jugalah halnya dengan pekerjaan seharian yang kita lakukan. Untuk menjadikannya satu ibadah yang berpahala mesti dimulakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah.
Dengan niat yang tulus ikhlas itu akan menjadi pemandu kepada seseorang untuk menjalankan kerjanya dengan bersungguh-sungguh dan yakin akan berhasil dengan cemerlang. Kata Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap amalan itu dengan niat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang hendak kita laksanakan hendaklah didahului dengan niat kerana Allah untuk mendapat keberkatan. Nabi SAW juga pernah mengatakan yang Allah tidak melihat pada rupa dan harta kita, tetapi Allah melihat pada hati dan amalan yang kita lakukan.
Selain itu , kita juga perlu sentiasa menjalankan pekerjaan dengan integriti yang mantap. Ciri-ciri beramanah, jujur dan sentiasa mematuhi segala etikanya menjadi penanda aras kepada diterima Allah kerja kita sebagai ibadah di sisi-Nya. Orang berniat ikhlas kerana Allah sangat takut melakukan sesuatu penyelewengan ketika menjalankan tugas. Orang sebegini tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip agama. Dia tahu apa yang sedang dikerjakannya itu diperhatikan Allah dan sudah tentu dia akan menyempurnakannya dengan komited dan sejujur yang boleh. Apabila dia hendak melakukan yang bertentangan dengan kehendak agama, maka dia akan teringat bahawa Allah Maha Melihat dan dia berasa malu kepada-Nya. Inilah ciri-ciri orang yang takut akan Allah yang akan menjadi benteng paling ampuh menjalankan sesuatu kerja dengan dedikasi dan mengharapkan reda Allah.
Tentunya mukmin seumpama itu akan dibuka pintu rahmat dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam pekerjaannya. Orang mukmin yang cemerlang dan berjaya dalam kerja buatnya akan sentiasa mengingati janjinya kepada Allah tatkala dalam solat ketika membaca Iftitah yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam.” – (Maksud Surah Al-An’am ayat 162 ) Inilah ayat yang kita ulangi dalam solat dan mukmin yang menghayati akan makna di sebalik ayat ini, tentu sekali akur dan akan melakukan amal ibadah dan apa saja pekerjaan duniawi dengan ikhlas, berintegriti dan komitmen dengan mengharapkan ganjaran pahala dan diluaskan pintu rezeki oleh Allah.
Satu perkara lagi yang menjadi prasyarat kepada kejayaan dalam sesuatu pekerjaan ialah nilai istiqamah dan dedikasi. Niat yang baik tetapi membuat sambil lewa saja bak melepaskan batok di tangga tidak akan meninggalkan kesan positif. Rasulullah SAW pernah memberitahu umatnya: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis riwayat Abu Ya’la) Memang sudah menjadi sunnah dalam kehidupan di dunia ini, Allah menetapkan kejayaan sesuatu perkara hanya terhasil melalui usaha gigih, dedikasi dan secara terancang. Istiqamah dalam Islam merangkumi skop yang universal dan ini termasuk dalam aspek melakukan sesuatu pekerjaan atau perkhidmatan. Istiqamah dalam melakukan kerja ibarat kehidupan semut.
Semut dijadikan Allah berbentuk kecil saja, jauh beza dengan diri manusia. Namun di sebaliknya ada iktibar yang boleh kita perhatikan sebagai pedoman hidup. Allah jadikan sesuatu itu tidak sia-sia kerana semua dapat diperhatikan dan dikaji selidik buat peringatan manusia. Begitulah dengan kehidupan semut. Cuba kita renungi dengan mendalam bagaimana semut mencari rezekinya. Gigih semangatnya, tekun kerja buatnya, Tidak ada istilah malas dan berputus asa dalam kamus semut itu. Semut juga hidup dengan sikap optimistik yang tinggi.
Kita pula bagaimana? Tidak ada rasa dengki, iri hati dan berpuak-puak dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semuanya dilaksanakan mengikut muafakat mantap dan masing-masing bekerja kuat untuk kemanfaatan bersama. Itulah spektrum sosial dalam kehidupan semut. Tidakkah semua elemen ini patut dicontohi oleh manusia.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam seharusnya mempamerkan sikap istiqamah yang berintikan nilai dedikasi tinggi, rajin serta berusaha berterusan demi menjayakan sesuatu kerja. Ciri inilah yang berjaya mengangkat umat Islam terdahulu menjulang kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Jangan risau dengan titik peluh yang terkeluar kerana kerja kuat, kerana setiap titik peluh kerana mencari rezeki yang halal itu sudah pasti dianugerahi ganjaran pahala oleh Allah dan segala hasil perolehan mendatangkan keberkatan. Inilah yang dinamakan kerja sebagai ibadah. Jadi, amat malang kita melihat ada mukmin yang bersikap acuh tak acuh, buat sambil lewa dan seakan-akan menunggu hari gaji saja. Ini bukan standard piawai ciri sebagai pekerja Muslim yang sebenar.
Melaksanakan sesuatu tugas di depan bos saja juga jauh menepati kehendak agama kerana melambangkan kepura-puraan dan bersalahan dengan etika agama.
Oleh yang demikian, mukmin yang inginkan kejayaan sebenar dalam kehidupan bekerja semestinya menerapkan niat yang betul dan ikhlas kerana Allah, sentiasa menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan dengan semaksimum yang boleh dan beristiqamah tanpa putus asa dalam mencapai kejayaan.
Terima kasih atas komen anda :)