Pages

29 July 2012

Ihya Ramadhan 9 : Ujian Menjenguk

Gerimis demi gerimis yang jatuh ke bahu sepanjang kita berjalan di jalan raya kehidupan ini adalah satu titik tolak untuk kita menjadi lebih baik. Akan tetapi, kita sebagai manusia perlu bijak untuk memenangi dan berlumba dengan ujian. Sama ada kita kalah dalam perlumbaan sengit ini atau kita menang dan menerima satu lagi sijil universiti kehidupan. Sedar atau tidak, dalam kebanyakan masa, kita banyak belajar dari perkara atau peristiwa pahit yang berlaku di sepanjang kehidupan.

Kerana apa? Kerana manusia lazimnya berfikir untuk berubah apabila merasakan dirinya sudah ditimpa kesusahan dan kesempitan. Dengan cara inilah manusia dapat belajar sesuatu tentang kehidupan. Tanpa musibah, hampir sahaja kita melakukan perkara yang sama setiap hari tanpa memikirkan apa dan kenapa perkara itu kita lakukan.

Ayuh kita lihat beberapa situasi,

• Bilakah masanya kebanyakan dari kita mula mengamalkan diet dan melakukan senaman? Ya, tentu sekali apabila merasakan berat badan semakin meningkat. Juga apabila doktor mula berpesan "Kalau kamu masih lagi tidak mengubah corak kehidupan yang gemar makan apa sahaja, maka tunggu sahaja saatnya kamu akan jatuh sakit." Lalu, kita pun mulakan perubahan.

• Di dalam persahabatan, kita hanya mula menyedari keberadaan sahabat kita apabila dia sudah bosan dengan sikap dan keburukan kita yang tidak pernah diubah. Di masa itu, kita mula bekerja keras untuk mengambil hatinya kembali kerana merasa kehilangan.

• Setelah kehilangan ramai pelanggan yang berharga, barulah seorang CEO sebuah syarikat belajar ilmu-ilmu berkenaan bagaimana untuk memberi servis terbaik untuk para pelanggannya.

• Seorang anak yang tidak baik kepada ibu bapanya hanya akan mula berasa menyesal yang teramat apabila melihat jenazah kaku si ibu di pembaringan. Pada saat itulah, penyesalan mula timbul. Lalu barulah hendak menyulam penyesalan dan berniat untuk sebuah perubahan.

• Bilakah pula masanya kita mula berdoa dan kembali kepada Allah? Setelah kita mula merasakan diri kita berada di dalam kesempitan musibah. 'Wahai Allah, berilah kemudahan kepada kesusahanku dan ampuni dosaku kerana melupakanmu." Itulah doa kita!

Begitu sifat asal manusia, kesempitan, kerugian dan kesusahan mampu merubah diri kepada yang lebih baik dan positif. Dan kerana itulah kita perlukan ujian! Lantaran itu, selalu sahaja kita mendengar "ujian itu adalah rahmat". Dan tidak asing juga"ujian itu tanda kasih sayang Allah kepada kita" sering kita dengari apabila kita berada di dalam kesusahan.

Fitrahnya, setiap yang diuji dengan kesusahan pasti dihujungnya ada keindahan. Semakin ujian itu berat, maka semakin jualah keindahan yang berada di hujung jalan kehidupan itu lebih membahagiakan. Namun hanya merasa bahagia apabila ujian itu dihadapi dengan tenang dan optimis.

Hadapilah ujian itu dengan senyuman dan segunung harapan. Senyum tanda syukur dan berharap hanya pada Allah SWT semata. Semoga Allah SWT memberikan keringanan untuk menghadapi ujian dengan ditambahkan kekuatan iman dan taqwa. Semoga dengan 'berat'nya iman dapat menghilangkan rasa peritnya ujian.

Apapun keadaan, apabila ujian menjenguk kita hadapilah dengan tenang. Sentiasa bersangka baik dan bersyukur kerana Allah SWT sentiasa memberi suntikan sebagai tanda ingatan kepada kita agar  tidak terus leka kealpaan. Adakalanya Allah SWT hadirkan ujian dan kesusahan dalam hidup kita itu tanda Allah rindu untuk mendengar bicara kita. Maka berdoalah kerana Dia Maha Mendengar!


Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign