Peluang rebut kelebihan Zulhijjah
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji, kita masih berpeluang mendapat kelebihan pada sepuluh hari awal Zulhijjah. Selain ibadah korban yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan harihari Tasyrik, kita disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah.
Barangkali segelintir kita tidak mengetahui pada 9 Zulhijjah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa iaitu puasa sunat hari Arafah.
Direkodkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW bersabda: "Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lepas dan dosa-dosa setahun yang akan datang." Inilah peluang yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya yang beriman dengan disediakan peluang bernilai iaitu pengampunan dosa-dosa lepas dan akan datang bagi mereka yang berpuasa penuh keikhlasan dan mengikut sunnah Nabi SAW pada 9 Zulhijjah.
Selain ibadah puasa hari Arafah kita juga disunatkan memperbanyakkan zikir dan doa. Jemaah haji yang berada di Arafah pada 9 Zulhijjah disunatkan memperbanyakkan zikir, tahlil, tasbih, takbir dan berdoa kepada Allah SWT memohon kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Direkodkan oleh Imam al-Tirmidhi, Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagiNya, bagiNya segala penguasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu."
Dapatlah dirumuskan sekurang-kurangnya tiga pengajaran iaitu doa pada hari Arafah adalah bersifat umum iaitu disunatkan kepada jemaah haji yang berwukuf di Arafah mahupun mereka yang tidak menunaikan ibadah haji.
Doa yang sangat mustajab
Doa pada hari Arafah adalah antara waktu yang amat mustajab kerana ia sebaikbaik waktu untuk memohon permintaan dan pengampunan daripada Allah SWT. Kita disunatkan meminta doa pada hari Arafah kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan pengharapan seperti ditunjukkan Nabi SAW.
Ketika tibanya hari Arafah, Nabi SAW bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT. Sunan alNasai, Usamah bin Zaid meriwayatkan, ketika beliau menunggang bersama Nabi SAW pada hari Arafah beliau melihat Nabi SAW mengangkat keduadua belah tangannya memohon doa kepada Allah SWT, sehinggakan apabila unta Baginda duduk dan terjatuh tali unta Nabi terus mencapainya dengan sebelah tangan, manakala tangan sebelah lagi masih tetap diangkat (untuk berdoa)."
Apabila tergelincir matahari di Arafah, Nabi SAW akan memendekkan khutbah dan kemudian menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak qasar.
Terima kasih atas komen anda :)