Pages

6 January 2014

Sharing Is Caring : Simpan Duit Untuk Beli Rumah

6 Januari 2014 / 4 Rabiulawal 1435

simpan duit, beli rumah

Ruangan sharing is caring. Artikel penuh : PaMa

Jika anda berazam untuk memiliki sebuah rumah, kaji terlebih dahulu status kewangan anda. Berikut adalah tiga soalan penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melaburkan wang membeli rumah idaman:

1.  Berapa banyakkah wang yang mampu dikeluarkan daripada simpanan untuk membiayai bayaran pendahuluan dan kos sampingan pembelian sesebuah rumah?

Bayaran pendahuluan ialah wang yang perlu dibayar untuk memastikan anda dapat menjadi pemilik sesebuah rumah yang diidamkan. Lebih tinggi bayaran pendahuluan, maka semakin kecil amaun yang perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank untuk menyelesaikan pinjaman perumahan anda.

Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Lazimnya, wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar adalah antara 5 - 20% harga jualan rumah tersebut. Walau bagaimanapun, jangan lupa yang anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk yuran guaman, duti setem, insuran dan juga kos pengubahsuaian rumah apabila kunci rumah diserahkan kelak.

Berdasarkan simpanan dan pelaburan yang ada, tetapkan jumlah yang mampu dikeluarkan untuk membeli rumah idaman. Di sini, anda dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya menyimpan wang yang menyamai selama 4 hingga 6 bulan perbelanjaan bulanan sebagai simpanan kecemasan. Disamping itu, pastikan anda tidak mengusik wang yang disimpan untuk persaraan kelak, lebih-lebih lagi jika anda kini di peringkat pertengahan umur.

2. Berapa banyak wang yang anda boleh keluarkan daripada pendapatan bulanan untuk meningkatkan kadar simpanan atau untuk membayar pinjaman perumahan anda?

Jika anda sudahpun mempertimbangkan soalan 1 dan mendapati wang yang ada dalam tangan tidak mencukupi, langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Anda boleh cuba membuka satu akaun simpanan khas untuk pembelian rumah. Pastikan anda memperuntukkan peratusan yang tetap daripada gaji untuk disimpan dalam akaun tersebut setiap bulan. Kaji dengan terperinci perbelanjaan anda, dan cuba kurangkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan percutian. 

Anda juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar untuk pinjaman perumahan tersebut. Lazimnya, bayaran untuk pinjaman perumahan tidak seharusnya melebihi 30% daripada gaji kasar anda. Selain itu, pastikan wang anda mencukupi untuk membayar perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan, bil air, elektrik dan sebagainya. Cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan anda ialah dengan membuat bajet dan mendisiplinkan diri untuk mengikut bajet yang telah sediakan. 

3. Berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada Akaun II KWSP untuk membiayai kos rumah anda? 

Periksalah akaun KWSP II untuk mengetahui amaun yang boleh dikeluarkan untuk pembayaran rumah anda. Ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembiayaan rumah yang dibeli. Mengikut laman web KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP adalah seperti berikut:

* Pembelian Individu: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah.

* Pengeluaran bersama suami/isteri, ahli keluarga, atau individu yang lain. Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II bagi semua pemohon tertakluk kepada amaun maksima yang layak dikeluarkan. Jika anda memperolehi pinjaman penuh (100%), anda layak mengeluarkan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah.

Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign