Pages

23 May 2014

Bersyukur Kepada Allah

Pic credit : Here
Bagaimanakah cara hendak reda dan bersyukur setelah dilanda musibah? Pertama, mesti kenal diri kita dan kenal Allah. Kita mesti tahu mengapa kita dilahirkan ke dunia ini, iaitu untuk mengimarahkan kehidupan ini.

Kedua, untuk kita bersyukur ini kita tulis dalam ‘jurnal kesyukuran’, setiap hari tulis tiga perkara yang kita kena bersyukur. Kajian saintifik menunjukkan bahawa sesiapa yang menulis tiga perkara yang positif setiap hari secara konsisten dalam masa tiga bulan, kehidupannya akan berubah menjadi positif.

Dia menjadi lebih tenang, bahagia dan lebih reda menerima apa-apa sahaja yang berlaku ke atasnya dengan hati terbuka.

Ketiga, sebagai orang Islam terus berdoa kepada Allah kerana telah menghidupkan kita kembali dan memberikan sehari lagi umur kita untuk meneruskan kehidupan. Roh kita menjadi tenang apabila kita berdoa.

Keempat, menjaga emosi dengan cara memberi kasih sayang tanpa had, tidak kira orang itu baik atau tidak kepada kita. Sayangi semua makhluk Allah, sentiasa memaafkan orang, takut hanya kepada Allah, buang jauh-jauh perasaan, sedih, kecewa, marah, dendam, benci, tamak, dan suka percaya kepada tahyul.

Kelima, banyakkan bersedekah, orang yang bersedekah terhindar daripada musibah, menyembuhkan penyakit dan tanda orang yang bersyukur. Kerana kita percaya walau apa pun yang berlaku kepada kita, semuanya tanda Allah ingat kita, Allah sayang kita, dan Allah yang kawal kehidupan kita. Allah sudah tetapkan takdir untuk kita, maka apa-apa sahaja yang berlaku kita akan tenang menghadapinya.

Kita mesti yakin apa-apa yang Allah beri semuanya baik pada pandangannya, biar pun peristiwa itu buruk dan menjadi sejarah hitam hidup kita. Oleh itu bagi mangsa-mangsa musibah sekalian yang masih selamat, bersyukur kerana Allah suka dengan orang-orang yang sabar dan reda. Kita mungkin kehilangan harta benda, tetapi Allah masih kekalkan anak-anak kita dan keluarga kita. Pandanglah apa yang kita ada, jangan pandang apa yang kita tiada, barulah kita akan bersyukur.

Semoga kita bersangka baik kepada Allah dan tidak berputus asa dalam hidup ini. Kuatkan semangat untuk bangun semula setelah ditimpa musibah. Kita berdoa sebagai hamba, dan Allah sebagai Tuhan kita, yang menentukan bila doa kita dimakbulkan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Artikel Penuh : Utusan

*Mungkin hidup kita dikatakan tak sempurna kerana tiada anak - tapi, kita harus bersyukur kerana ada suami dan keluarga yang masih sayangkan kita, ambil berat tentang kita.
*Mungkin hidup kita tak semewah orang lain - tapi, kita tetap harus bersyukur, kerana cukup makan pakai.
*Mungkin pekerjaan kita tak sehebat orang lain - tapi, kita tetap harus bersyukur, kerana di luar sana, beribu lagi yang masih tiada pekerjaan.

Kuncinya - sebagaimana artikel di atas "pandang lah apa yang kita ada, jangan pandang apa yang kita tiada. Terima kasih Ya Allah, di atas segala nikmat yang telah Engkau Kurnia. Terima kasih.
Alhamdulillah :)

Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign