Pages

11 September 2015

Yakin Dengan Allah

Hari ni kita share something yang agak menarik.
Full article dari blog ni [link : keranakasihnabi]
Panjang, tapi ada yang boleh dimanfaatkan bersama.
Esp pada rakan seperjuangan :)

****

Dalam Al-Quran nul Kareem, Allah Ta'ala mengisahkan keampuhan dan kekuatan senjata doa yang ramai daripada manusia kurang memberi perhatian – bukan pada doanya, tapi meyakini hebatnya doa. Ramai orang berdoa, tapi tidak ramai yang meyakini kehebatan, keampuhan, kekuatan senjata doa. Mereka lebih bergantung pada benda-benda yang bersifat material untuk menjadi asbab, ‘cause-and-effect’, prasarana, walaupun segala itu adalah penting. Tetapi di dalam Al-Quran nul Kareem, Allah SWT menceritakan tentang seseorang yang sudah putus sebabnya untuk mendapatkan apa yang boleh dihasilkan oleh sebab, yang tidak ada lagi wasilah untuk mendapatkannya melalui wasilah itu, iaitu kisah Nabi Zakaria.

Dalam Al-Quran, surah Mariam, Allah SWT berfirman, supaya kita memahami bukan hanya fadhilah doa tapi kehebatan doa, supaya setiap orang daripada kita kerap berdoa kepada Allah dan meyakini hebatnya doa dan mengambil iktibar daripada kisah Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria merupakan salah seorang Nabi yang dipilih untuk membela dan menjaga Siti Mariam. Beliau sudah sekian lama menikah tetapi tidak mendapat zuriat, lalu diambillah Siti Mariam untuk dibela dan dididik, lebih-lebih lagi isteri Nabi Zakaria adalah mempunyai hubungan kerabat dengan Siti Mariam. Isteri Nabi Zakaria adalah adik-beradik kepada ibu Siti Mariam. Adalah perkara yang menggembirakan kepada Nabi Zakaria ketika beliau diberi Siti Mariam untuk dididik.

Dengan berlalunya masa, Siti Mariam pun membesar sehingga dewasa. Nabi Zakaria menyaksikan keajaiban padanya – setiap kali Nabi Zakaria masuk ke tempat beribadatnya Siti Mariam (mihrabnya), Nabi Zakaria mendapati ada hidangan makanan yang istimewa. Keistimewaan makanan itu nampak kerana apa yang terhidang tidak ada di luar. Hidangannya merupakan buah-buahan yang bukan di musimnya, untuk menunjukkan tiada sesiapa pun daripada manusia yang mendatangkannya. Macam mana nak mendatangkan buah yang bukan di musimnya? Allah mendatangkan makanan di musim sejuk sedangkan di luar musim panas, dan sebaliknya sehingga itu menampakkan keajaiban setiap kali Nabi Zakaria masuk ke mihrab Siti Mariam.

Nabi Zakaria bertanya, “Bagaimana kamu mendapatkan rezeki ini Mariam?” Jawabnya, “Ia datang daripada Allah SWT.” Maka, Nabi Zakaria, di situ berdoa. “Tuhanku..” Apa permintaan Nabi Zakaria? Beliau meminta untuk dikurniakan cahayamata, yang beliau sudah sekian lama menikah tapi beliau belum mendapatkan zuriat (surah Mariam, ayat 4):


Tapi dalam doanya, Nabi Zakaria penuh sopan-santun dengan berkata, “Wahai Tuhanku, tulang saya ini sudah rapuh untuk melakukan sebab untuk mendapatkan zuriat, rambut saya pun sudah putih, tapi saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau.”

Kalimat “saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau” menunjukkan keyakinan yang mutlak mantap kalau apa yang didoakan pasti akan didapatkan. Kebanyakan orang kalau berdoa tapi tidak yakin yang doanya akan dimakbulkan, kebanyakan orang berdoa sekadar formaliti, kebanyakan orang berdoa tidak menghayati atau meresapi kalau doanya pasti dikabulkan!.

Tapi Nabi Zakaria mengatakan, “Saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau”. Katanya, “Wahai Tuhanku, berikan kepadaku daripada sisi Engkau…”. Perkataan daripada ‘sisi Engkau’, yakni beri daripada Engkau, bukan daripada aku, bukan daripada sebab yang diambil, bukan daripada ‘platform’ yang diambil tapi daripada Engkau (Allah), supaya manusia, bilamana berdoa yakin kalau datangnya (kabulnya) doa itu semata-mata dari Allah, walaupun datangnya melalui orang, atau sebab.

Surah Mariam, ayat 5:

Sambungan doa Nabi Zakaria, “..berikan aku waliyya…”. ‘Waliyya’ itu ertinya penolong. Subahanallah. Dalam ayat ini, Nabi Zakaria berdoa kepada Allah SWT dan mempelbagaikan bentuk doanya – “Ya Allah aku mohon zurriyat yang baik.”, “Ya Allah berikan aku zurriyah walliyah (zuriat yang menjadi penolong)”. Bermacam-macam bentuk doa menunjukkan banyak dan kerapnya Nabi Zakaria berdoa kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, seseorang kalau berdoa, jangan sekali-dua. 

Rasulullah ﷺ kalau berdoa kepada Allah SWT, terkadang satu permintaan diulang 3 kali, kerana baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah itu suka kepada hamba yang mengulang-ulang dalam berdoa kepada-Nya.” Kenapa Nabi Zakaria meminta zuriat? Supaya zuriatnya itu dapat mewarisi dirinya dan keluarganya, dan bukan mewarisi harta/takhta, tetapi mewarisi tugasan menyebarkan dakwah dan menyampaikan ilmu.

Dalam ayat ini (ayat 5 surah Mariyam), Nabi Zakaria menzahirkan kerisauannya tentang kaumnya yang mungkin akan terpesong jika tiada yang menyambung dakwahnya, dan kerana itu, Nabi Zakaria memohon zuriat yang baik yang boleh menjadi waris kepada agama yang telah diwariskan kepada keluarga Nabi Yaakub supaya boleh diteruskan oleh zuriat beliau.
Kalau minta zuriat, minta zuriat yang baik, jangan minta zuriat sahaja, jangan minta zuriat yang ‘handsome’ saja, jangan minta zuriat yang cantik saja, minta zuriat yang BAIK, yang mendatangkan manfaat, yang mendatangkan kebaikan, bukan saja minta zuriat tapi minta zuriat yang baik.

Surah Mariam, ayat 7:

Nabi Zakaria berdoa dalam solatnya, dan Allah SWT hantarkan malaikat Jibril memanggil Nabi Zakaria yang masih dalam solatnya. Katanya seperti yang direkodkan dalam ayat 7, surah Mariam. Berita gembira itu diberi saat dia solat. Apa maknanya? Maksudnya doanya dijawab ‘CASH’. Setelah meminta, terus diberikan Allah SWT ketika dia masih dalam solat lagi dan tidak ditunda setelah dia habis solat. Inilah keampuhan kekuatan senjata doa.

Zuriat yang diberikan, diberikan nama ‘Yahya’, dan tiada orang sebelum itu yang dinamakan dengan nama Yahya. Nabi Yahya ialah buah kepercayaan doa seorang ayah kepada Allah SWT. Allah memberitahu ianya sebagai khabar gembira kerana mendapat zuriat merupakan perkara yang menggembirakan seseorang. Kita pun mengucapkan tahniah kepada orang yang mendapat zuriat. Tapi bukan sekadar sebut “Tahniah ye!” tetapi bacakan doa seperti berikut:

Kalau orang dapat rezeki anak, buat majlis aqiqah dan setiap orang yang datang baca doa seperti ini, 10 orang sudah 10 doa, kalau 100 orang yang dihimpunkan? Doakan – kalau tak tahu bahasa Arab, dalam bahasa Melayu pun boleh.

Yahya ertinya hidup, sementara umurnya tak panjang kerana dibunuh oleh Raja yang zalim. Dibunuhnya beliau menjadikan Nabi Yahya syahid – orang yang syahid tak boleh dikatakan mati, kerana Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 169,

Jadi, syahid itu sesuai dengan namanya ‘Yahya’ kerana dia tetap hidup di sisi Allah SWT sehingga suatu masa yang diizinkan. Apa yang diceritakan tentang Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dalam Al-Quran menunjukkan keampuhan dan kekuatan doa. Jadi, kalau nak berdoa, mesti memenuhi adab berdoa, dan salah satu adab yang penting ialah meyakini keampuhan senjata doa yang boleh mendatangkan kepada kita perkara yang apa-apa sebab atau mana-mana manusia tak boleh mendatangkan, tetapi doa boleh mendatangkannya kerana yang memakbulkan adalah Yang Maha Berkuasa yakni Allah SWT. Dan tidaklah ada orang yang paling banyak berdoa melainkan Nabi Muhammad ﷺ, penghulu kepada orang yang berdoa. 

Terima kasih atas komen anda :)

INI KISAH PUANSTOBERI Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign